Ahad, 15 Februari 2026

MAJLIS WATIKAH PERLANTIKAN PEMIMPIN MUDA 2026


Rabu, 11 Februari 2026. Majlis Watikah Perlantikan Pemimpin Muda telah berlangsung dengan penuh istiadat, teratur dan sarat dengan nilai kepimpinan. Program ini merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada murid-murid yang telah dipilih untuk memikul amanah sebagai barisan pemimpin muda sekolah bagi sesi persekolahan semasa.

Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Sarjan Safezah Binti Bahari, Pegawai Perhubungan Sekolah, yang turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai simbol kepercayaan, tanggungjawab dan komitmen yang perlu digalas oleh setiap pemimpin yang dilantik. Kehadiran beliau bukan sahaja menyerikan majlis, malah memberikan suntikan motivasi dan semangat kepada para murid untuk terus berdisiplin serta menjadi contoh terbaik kepada rakan-rakan.

Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi juga satu amanah besar yang menuntut kesungguhan, integriti dan kesediaan untuk berkhidmat demi kesejahteraan warga sekolah. Diharapkan agar barisan pemimpin muda yang dilantik akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, berani membuat keputusan yang bijaksana serta sentiasa mengutamakan nilai murni dalam setiap tindakan.

Semoga majlis ini menjadi titik permulaan kepada pembentukan kepimpinan yang berwibawa, berdaya saing dan berakhlak mulia dalam kalangan murid. Tahniah dan syabas kepada semua pemimpin muda yang telah menerima watikah pelantikan. Selamat menjalankan amanah dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.


photo album